Sign In
Mobirise Website Builder


TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM



Di Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara Ke-8, 1439/2017

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden,
Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin,
Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Terlebih dahulu Beta mengucapkan selamat datang kepada para belia dari negara-negara ASEAN
yang menyertai Musabaqah Tilawah Al- Quran Belia Asia Tenggara Tahun 1439 Hijrah / 2017 Masihi.
Khusus kepada peserta baru Timor Leste, Beta menghulurkan salam muhibbah dan selamat maju jaya dalam bidang ini.

Beta seterusnya mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pemenang
Musabaqah Tilawah Al-Quran Belia Asia Tenggara bagi tahun 1439 / 2017 dan
juga kepada semua peserta lain yang telah menunjukkan semangat perpaduan ASEAN.

Musabaqah Tilawah Al-Quran Belia Asia Tenggara, tidak syak lagi,
adalah satu langkah ke arah menggalakkan aktiviti dan interaksi sosial yang sihat di kalangan para belia.
Ia juga dapat menyifatkan sebagai perkongsian kerjasama antara kerajaan untuk membina generasi belia.

Pertemuan para belia di musabaqah ini mampu untuk meningkatkan jaringan interaksi serantau antara masyarakat belia.
Iaitu juga boleh menyumbang kepada perpaduan ummah secara menyeluruh.

Generasi belia adalah merupakan sumber tenaga besar negara-negara ASEAN.
Dengan bilangan mereka berjumlah 211 juta, menjadikan mereka berupaya untuk
menggerakkan pembangunan dalam negara masing- masing.
Kejayaan menggembleng tenaga belia akan menambahkan lagi kekuatan dan ketahanan negara.

Hasrat Beta mengetengahkan Musabaqah Tilawah Al-Quran Belia Asian Tenggara ini
adalah untuk melihat para belia ASEAN turut memiliki peribadi Al-Quran.
Maksud Beta dengan peribadi Al-Quran ialah akhlak mulia mengikut calak Al-Quran.
Semua ini orang Islam dikehendaki untuk memiliki akhlak Al-Quran.

Menerusi Dasar Belia Negara, kita juga menitikberatkan peningkatan ilmu pengetahuan.
Kerana ilmu adalah tonggak bagi pembangunan. Tanpa ilmu, pembangunan tidak mungkin dapat dilaksanakan.
Ini juga sangat perlu kepada belia.

Maka ke arah ini, generasi belia perlu celik teknologi terkini, kemahiran teknik dan vokasional
serta mempunyai basic keusahawanan selaras dengan kehendak pembangunan negara.
Beta juga menggalakkan supaya generasi belia menyertai organisasi atau aktiviti sukarela
yang dapat memupuk gaya hidup yang sihat, cergas dan dinamik.
Amalan ini tidak diragukan lagi dapat menghasilkan pemimpin-pemimpin yang berkualiti.

Persoalan kualiti disini tidak saja menyangkut perkara luaran,
tetapi juga turut menyangkut perkara yang lebih penting lagi, iaitu pemikiran sikap dan kebolehan.

Dari senario inilah golongan muda itu dapat dinilai, sama ada berkualiti atau sebaliknya.
Namun kita tetap percaya, bahawa mereka memang benar-benar berkualiti
serta menjadi harapan bangsa yang sangat bernilai.

Ugama Islam memang mahu umatnya berkualiti dan kaya dengan nilai.
Nilai yang dikehendaki oleh Islam itu, paksinya adalah ‘akhlak yang mulia’.
Dari akhlak yang mulia inilah lahirnya segala sifat terpuji,
seperti ta’at berugama, setia kepada ulil amri, cinta kepada negara, amanah, ikhlas dan ihsan.
Inilah akhlak yang disuruh kita memakainya oleh Islam.

Semoga para belia dan malah kita semua diizinkan oleh Allah untuk dapat memiliki akhlak yang mulia ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.