Seramai
 15 peserta qari dan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia 
Tenggara Kelapan 2017 memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran 
mereka pada hari kedua musabaqah berkenaan yang diadakan di Dewan 
Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, di sini.
Hadir
 pada majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang 
Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji 
Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof yang juga selaku Pengerusi Ahli 
Jawatankuasa Tertinggi; Menteri Hal Ehwal Dalam Dalam Negeri Yang 
Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang 
Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang
 Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman; 
Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa 
bin Haji Sirat dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr.
 Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.
Turut
 hadir, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, 
Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Ahli-ahli Mesyuarat Negara dan 
Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Tilawatil Qur'an Belia Asia 
Tenggara Kelapan 2017.
Majlis
 didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Yang 
Dimuliakan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang.
Peserta
 pertama yang memperdengarkan bacaan ialah qari dari Republik Filipina, 
Mohamiden Bangkailan Umpong yang membaca Surah An-Nisaa.
Juga memperdengarkan ialah peserta qariah negara, Dayangku Amal Zahirah binti Pengiran Haji Jofri yang membaca Surah Ar-Ra'd.
Antara
 peserta yang memperdengarkan bacaan masing-masing termasuklah dari 
Indonesia; Timor Leste; Myanmar; Kemboja; Laos; Singapura dan Malaysia.
Majlis
 turut diserikan dengan persembahan tausyeh daripada Golongan Kelab 
Komuniti dan Transformasi, Pusat Belia dan Kumpulan Az-Zayyan.
Musabaqah
 Tilawatil Quran Belia berkenaan disertai oleh belia-belia Islam berusia
 18 hingga 30 tahun dari negara-negara di rantau Asia Tenggara, iaitu 
Kemboja, Republik Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Lao, Republik 
Kesatuan Myanmar, Republik Singapura, Republik Soaialis Viet Nam, 
Thailand dan Negara Brunei Darussalam selaku tuan rumah.
Buat julung kalinya, negara mengundang qari dan qariah dari Republik Demokratik Timor Leste.
Musabaqah yang diadakan selama tiga malam bermula 24 Oktober itu akan diteruskan lagi esok malam.
Sumber : Pelita Brunei