Sign In
Mobirise Website Builder


SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA

HAJI AL-MUHTADEE BILLAH IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH,

MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI



Di Majlis Pembukaan Rasmi Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara Ke-8, 1439/2017



Assalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh


Bismillah Hir Rahman Nir Rahim


Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen,
Sayyidinaa Muhammadin, W a’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin serta rahmat-Nya jua,
dapatlah kita semua hadir di Majlis Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara Ke-8, pada malam ini.

Majlis yang berkebajikan lagi berkat ini merupakan satu lagi pandangan jauh
dan kepimpinan bijaksana Paduka Ayahanda dalam memperkukuhkan Syiar Islamiah,
khususnya, dalam memartabatkan ilmu dan seni tilawah Al-Quran terutama di kalangan belia di rantau ini.

Matlamat utama adalah sangat jelas; iaitu sebagai wadah perpaduan kepada generasi belia Asia Tenggara untuk berinteraksi,
berkongsi ilmu dan pengalaman ke arah meraih keberkatan Al-Quran.

Ini mengambil kira bahawa belia-belia rantau ini memiliki latar belakang sosio- budaya yang berlainan.

Saya sangat yakin Majlis Musabaqah ini dapat seterusnya meningkatkan
semangat ukhuwah dan perpaduan ummah yang menjurus kepada pembangunan rantau yang aman,
progresif, dan diberkati Allah Subhanahu Wata’ala.

Dalam masa yang sama, penganjuran ini juga diharap dapat melahirkan
pemimpin belia pada hari esok yang berakhlak mulia, berilmu dan yang mempraktikkan
amalan kerohanian yang mantap dalam semua hal terutama menguruskan pentadbiran negara.

Sejak kebelakangan ini, Alhamdulillah, saya sangat gembira mengambil maklum
bahawa sudah mula timbul kesedaran dan keinginan masyarakat Islam
untuk memulakan hafazan dan pengajian Al-Quran kepada anak-anak seawal usia hingga ke peringkat remaja.

Ini bertujuan untuk mempersiapkan diri mereka dengan nilai-nilai murni dan pendidikan akhlak
serta pembangunan jati diri bagi menghadapi senario dan cabaran kehidupan yang sentiasa berubah.

Usaha sedemikian adalah sangat penting.
Ini kerana arus globalisasi dan kepantasan penyebaran maklumat dalam era teknologi digital
turut memberikan kesan kepada keutuhan masyarakat serta mempengaruhi sikap
dan mencabar intelek golongan belia yang perlu dibimbing secara terarah.

Di samping itu, Saya juga menekankan betapa pentingnya peranan
sistem pendidikan ugama yang diwajibkan itu
bagi memastikan akhlak generasi muda boleh dijadikan sebagai sumber aset yang sangat bernilai dan teras
kepada keperluan pembangunan negara dan sumber tenaga manusia yang mampan.

Tidak dinafikan lagi bahawa belia yang beriman dan bertakwa
adalah cermin masa hadapan negara dan kesatupaduan serantau.

Ke arah itu, generasi belia serantau perlu menanamkan kesedaran untuk sentiasa berusaha
dan sedia bersaing dalam memajukan diri dan ummah.
Generasi belia perlu meletakkan diri mereka sebagai penggerak dan pembina tamadun yang unggul
serta dihormati oleh masyarakat serantau dan dunia.

Di kesempatan ini, saya menyeru supaya pihak-pihak yang berkenaan
akan terus memikirkan kehadapan program pembangunan kebeliaan serantau
secara bersepadu yang menekankan kedua-dua aspek duniawi dan ukhrawi
ke arah memperkasakan sumbangan generasi belia
kepada kecemerlangan ummah, peradaban dan tamadun serantau.

Akhir kata, dengan mendahulukan kalimah ‘Bismillah Hir Rahman Nir Rahim’,
selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam,
saya sukacita merasmikan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara Ke-8.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ’Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh