Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien
Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Tilawatil Quran Belia
Asia Tenggara Ke-8 dan seterusnya berkenan mengurniakan hadiah kepada
para pemenang, para peserta dan Ahli-Ahli Jemaah Hakim.
Keberangkatan
tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Pusat Persidangan Antarabangsa,
Berakas dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang
Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji
Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Jawatankuasa
Tertinggi Musabaqah; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang
Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohd. Roselan bin Haji Mohd. Daud;
Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji
Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama,
Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.
Berangkat
sama paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat
Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee
Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat
Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia
Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri
Bolkiah.
Majlis
dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Mufti
Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia
(Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Menteri
Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam sembah alu-aluannya antara lain
menyembahkan, penyertaan menyeluruh negara ASEAN dan negara jemputan
tidak syak lagi adalah manifestasi keakraban negara ASEAN selaku satu
komuniti yang saling dukung-mendukung kepada inisiatif yang membawa
kebaikan kepada belia di rantau ini.
Menurut
Yang Berhormat, begitu juga kemahuan belia-belia tampil menyertai
Musabaqah Tilawatil Quran adalah petanda bahawa belia-belia golongan
harapan negara masih mudah dilentur untuk menyahut kemahuan negara.
Tambah
Yang Berhormat, partisipasi belia dalam bidang bacaan Al-Quran adalah
signal bahawa belia mampu menghayati kehidupan sebagai seorang Muslim
berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah dan ada harapan menjadi pendakwah
dan menyebarkan kesedaran Islam dalam kalangan rakan sebaya untuk
diamalkan dalam hidup ke arah mendapat kerahmatan dan keredaan Allah
Subahanahu Wata'ala.
Pada
majlis tersebut, Kebawah DYMM juga berkenan mengurniakan titah dan
kemudian mengurniakan hadiah-hadiah dan cenderamata kepada para pemenang
serta peserta dan Ahli-Ahli Jemaah Hakim.
Majlis
diserikan lagi dengan persembahan bacaan Al-Quran daripada johan qari
dan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara Ke-8 tahun ini.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan.
Sumber : Pelita Brunei