Sign In
Mobirise Website Builder
03.12.2019 | Lahirkan belia menghayati, menjiwai Al-Quran sebagai panduan hidup Syumul

​​Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara (MTQBAT) adalah peluang keemasan kepada para belia rantau ini untuk saling memperbaharui semangat perpaduan dan ukhuwah yang sedia terjalin, di samping mempertingkatkan lagi interaksi rakyat dengan rakyat sebagai teras kepada hubungan harmoni di antara penduduk serantau yang berbilang bangsa dan agama.


Berpegang kepada matlamat yang sama, iaitu melahirkan lebih ramai generasi belia yang menjadikan pembacaan dan pengajian Al-Quran sebagai amalan lazim, terutama ke arah membentuk generasi insan yang benar-benar menghayati dan menjiwai Kitab Suci Al-Quran sebagai panduan hidup yang syumul.

 

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersabda demikian semasa Majlis Pembukaan Rasmi MTQBAT Ke-9, Tahun 1441 Hijrah / 2019 Masihi, bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.

 

Perkara ini, sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, selaras dengan tuntutan umat Islam dan seluruh umat manusia untuk mengkaji isi kandungan Al-Quran dengan mengamati ayat, ilmu dan rahsia yang tersirat di dalamnya sepertimana mafhum Surah Shad, ayat 29 : "(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar".

 

Golongan belia, sabda Duli Yang Teramat Mulia, adalah memainkan peranan utama dalam mencorakkan calak kemajuan masa depan rantau ini yang berlatarbelakangkan kepada berbagai cabaran dibawa oleh arus globalisasi, termasuk kecanggihan teknologi infokomunikasi semasa.


Ke arah itu, sabda DYTM lagi, musabaqah ini adalah juga dihasratkan menjadi wadah untuk membentuk keperibadian belia yang lebih baik, holistik dan menyeluruh selaras dengan titah ingatan paduka ayahanda DYTM supaya golongan belia perlu lebih bijak dan berhati-hati dalam menilai dan memilih perubahan yang mereka hadapi agar tidak mudah terjerumus dalam melaksanakan sesuatu perkara yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wata'ala.


"Dengan demikian, adalah wajar bagi golongan belia Muslimin di rantau ini sentiasa disemai dengan nilai-nilai luhur sebagai generasi pewaris untuk menyuburkan zaman keemasan tamadun Islam, khasnya dalam menyebarkan kebaikan serta kerahmatan ajaran ugama Islam kepada seluruh umat manusia," sabda DYTM.

 

Menurut sabda DYTM lagi, seperkara yang menjadi kepentingan bersama ialah untuk meneruskan usaha bersepadu agar setiap belia sentiasa dibekalkan dengan keperibadian yang lengkap kerana masa depan kita sememangnya bergantung kepada belia yang berakhlak dan siap siaga untuk memajukan diri, masyarakat dan ummah secara keseluruhannya.

 

DYTM bersabda melahirkan harapan agar Musabaqah Belia ini akan terus dipertingkatkan ke arah mendekatkan lebih ramai belia Muslimin Asia Tenggara kepada Al-Quran, di mana setentunya penghayatan kepada dasar dan ajaran Kitab Suci Al-Quran adalah elemen yang akan terus menjamin keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran kita bersama.


Dalam hal ini, sabda DYTM, titah paduka ayahanda DYTM pada Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam 2019 mengenai "Amanah", iaitu "Amanah adalah wajib diamalkan" dan "Amanah adalah 'tiang seri' keadilan" yang sepatutnya dijadikan pegangan kehidupan.


"Dengan demikian, belia-belia hendaklah mempersiapkan diri masing-masing ke arah memikul tanggungjawab sebagai pewaris bangsa dan negara. Sifat amanah yang dimiliki dan dipraktikkan akan membawa berkat sepertimana jua amalan melazimkan diri untuk membaca Al-Quran dan mengamati maksudnya yang tersirat," sabda DYTM lagi.

 

Di sinilah, sabda DYTM, peranan signifikan bila mana golongan belia yang beramanah akan seterusnya menegakkan keadilan dalam setiap aspek kehidupan dan amalan.

 

Terdahulu, DYTM bersabda, selaras dengan hasrat murni paduka ayahanda DYTM serta dukungan berterusan ini terhadap penganjuran Musabaqah Belia sebagai platform bagi menyatukan belia Asia Tenggara dari berbagai latar belakang sosiobudaya ke arah memperkukuhkan syiar Islam dengan memartabatkan Kitab Suci Al-Quran.

Attachments